Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Al-Quran sebagai pedoman, petunjuk sepanjang zaman
22/04/2025

 


Kalam Allah yang termaktub dalam kitab suci Al-Quran yang diwahyukan melalui Malaikat Jibril 'Alaihissalam adalah mukjizat teragung yang diturunkan kepada Nabi terakhir Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai pedoman dan petunjuk sepanjang zaman.

Di dalamnya terkandung hukum mengenai ibadah secara individu dan undang-undang sosial; kisah para Nabi dan umat terdahulu termasuk pelbagai petunjuk tentang kekuasaan Allah Maha Pencipta, kejadian alam dan sains.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda demikian pada Majlis Perasmian Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah juga bersabda, hikmahnya adalah untuk diimani dengan hati dan difikirkan dengan akal manusia yang sihat.

Akal yang sihat dan cerdas sahaja, sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, yang dapat mendalami dan memahami hikmah ayat-ayat yang terkandung dengan melazimkan membaca, di samping mengukuhkan kefahaman melalui amalan tadabbur yang menjurus kepada menerangkan mata hati serta akal dan minda yang tajam.

Justeru, sabda Duli Yang Teramat Mulia, akal dikurniakan kepada manusia sebagai alat organ spiritual untuk memahami, menilai dan membuat keputusan berpandukan kepada wahyu Illahi agar tidak tersesat daripada kebenaran.

Sabda DYTM, akal disebut dalam Al-Quran sebanyak 49 kali dalam mana para ulama menafsirkan kata 'akal' disebut dengan kata kerja, iaitu suruhan supaya manusia sentiasa dalam proses memikir, memahami dan seterusnya mengenali Maha Pencipta alam semesta.

"Dalam hubungan ini, Paduka Ayahanda sempena sambutan Maulidur Rasul yang baru lalu khasnya mengurniakan titah mengenai dengan keperluan untuk memelihara akal, di sebalik cabaran-cabaran masa kini dalam mana Paduka Ayahanda turut menitahkan antara lain tentang akal yang sihat menjamin kehidupan berkat.

Jika akal sihat, semua akan berjalan dengan baik, lancar dan berjaya. 

Sebab itu gejala mental adalah menjadi keutamaan untuk dirawat," sabda DYTM.

Dalam era digital masa ini, DYTM seterusnya bersabda, cabaran semakin besar terutama dengan kehadiran media sosial yang kadang-kadang menyebarkan maklumat bercanggah dengan ajaran Islam aliran Ahli Sunnah Waljamaah.

Oleh itu, sabda DYTM, kita perlu memperkuat sistem imun atau kekebalan diri dengan pendidikan ugama.

DYTM bersabda, ini penting supaya kita tidak terpengaruh oleh ideologi dan pemikiran yang tidak selari dengan dasar kerajaan.

"Sehubungan dengannya, Paduka Ayahanda juga seterusnya menitahkan bagi aktiviti-aktiviti dakwah yang dikendalikan oleh pihak-pihak berkenaan akan dapat disampaikan secara berhikmah, sehingga mampu untuk menjadi benteng menghalangi ajaran-ajaran sesat daripada disebar melalui pelbagai bentuk aplikasi media," sabda DYTM.

Dengan demikian, sabda DYTM, keperluan untuk memelihara akal dan seterusnya memperkukuh kekebalan diri adalah bertepatan dengan tema musabaqah kali ini, iaitu 'Akal Sihat dengan Al-Qur'an'.

DYTM bersabda, fungsi akal sihat menurut Al-Quran adalah akal yang selalu ingat kepada Allah, mengenal kebesaran-Nya, dan menjalankan fungsinya sesuai dengan tujuan penciptaannya.

DYTM besabda, firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Ali-'Imran, ayat 190-191, tafsirnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda (kekuasaan dan kebijaksanaan Allah) bagi orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Ya Tuhan kami! Tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka."

"Konsep 'Akal Sihat dengan Al-Qur'an' pada hemat saya bermaksud kesihatan dan ketajaman pemikiran seseorang bergantung kepada sejauh mana akal itu berpandukan ajaran Al-Quran," sabda DYTM.

DYTM bersabda, Al-Quran menyihatkan akal dengan membimbing akal ke arah kebenaran, mengajarkan manusia berfikir secara kritis dan merenungkan tanda-tanda kebesaran-Nya.

Sabda DYTM, Al-Quran juga menjauhkan daripada pemikiran yang tidak sihat, negatif dan songsang serta menghindarkan daripada ideologi yang menyesatkan dan nafsu yang melampaui batas.

"Di sinilah signifikannya peranan semua pihak berkepentingan khasnya dalam bersama-sama menjunjung serta menanai titah saranan Paduka Ayahanda seiring dengan keperluan untuk memperkasa masyarakat dalam menghayati ajaran-ajaran murni Islam berlandaskan Maqasid Syariah ke arah melahirkan generasi bangsa dan negara yang sentiasa berusaha meraih keberkatan kehidupan duniawi dan ukhrawi," sabda DYTM.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto